Monday, 15 October 2012

Felix Baumgartner Cipta Rekod Dunia Terjunan Dari Angkasa


Penerjun Austria, Felix Baumgartner berjaya mencipta rekod dunia terjun dari pinggir angkasa awal hari ini dan mendarat dengan selamat di gurun New Mexico selepas jatuh bebas dari ketinggian 39km dari aras bumi.

Beliau membuka payung terjunnya setelah mencapai kelajuan jatuh bebas melebihi 1100 kilometer sejam

"Kadang-kadang anda perlu naik sangat tinggi untuk menyedari betapa kecilnya anda," kata Baumgartner sebelum beliau melompat dari kapsulnya, sambil diperhatikan di seluruh dunia melalui siaran langsung.

Beliau mengambil masa lebih dua jam untuk naik ke ketinggian terjunan dan telahpun memecahkan satu rekod dunia sebelum melompat lagi, iaitu rekod altitud paling tinggi untuk sebuah penerbangan belon membawa manusia.

Cubaan kali ini adalah yang kedua selepas gagal minggu lalu akibat masalah angin.

Baumgartner telah berlatih selama lima tahun dan memegang banyak rekod termasuk terjunan dari Menara Berkembar Petronas.

Sunday, 14 October 2012

Edisi Hahaha : Kes Kapal Selam Dibicara Tanpa Ada Kes



Hari ini, SUARAM ‘ditampar’ lagi dengan berita penolakan mahkamah Perancis terhadap permohonan mereka untuk menjadi plaintif bagi dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam scorpene.

Seperti yang diketahui, SUARAM, iaitu pertubuhan yang diterajui pemimpin-pemimpin pembangkang serta didalangi oleh Yahudi dan penyangak matawang telah membuat aduan kepada mahkamah Perancis bahawa terdapat unsur-unsur rasuah yang jelas dalam pembelian kapal selam scorpene.

Dan mengikut undang-undang negara tersebut, semua aduan perlu diterima dan disiasat sewajarnya oleh hakim penyiasat. Sekiranya aduan tersebut didapati berasas, maka kes tersebut mungkin dibawa ke mahkamah. Dan hari ini, terdedah sudah bahawa mahkamah Perancis telah menolak permohonan SUARAM sejak dari awal lagi iaitu pada 13 Mac 2012.

Ini bermakna, setelah membuat pertimbangan atas permohonan SUARAM, mahkamah mendapati bahawa aduan tersebut adalah tidak berasas dan tidak wajar untuk dilayan. SUARAM bagaimanapun, memfailkan semula aduan yang sama di mana jawapannya masih belum diterima sehingga kini. Dalam ertikata lain, aduan ditolak dan tiada kes yang difailkan. Justeru, dari mana datangnya kisah mengenai perbicaraan? Sepina? Saksi dan dokumen bukti?

Dari imaginasi Anwar? Atau dari imaginasi Soros? Malah, akhbar Suara Keadilan 9 Oktober 2012 masih lagi memomokkan rakyat dengan menyiarkan senarai tujuh saksi, termasuk Perdana Menteri dan kononnya sepina telah diterima oleh salah seorang saksi.

Kadangkala kita hairan, sejauh manakah lagi SUARAM ingin memperbodohkan rakyat? Bukankah tindakan mereka meneruskan penipuan yang telah terdedah berkali-kali, menunjukkan bahawa merekalah sebenarnya yang bodoh? Jelas sekali di sini bahawa pihak Yahudi yang menjadi dalang di belakang SUARAM benar-benar memandang rendah terhadap intelektualiti rakyat Malaysia.

Sangka mereka, kita semua boleh ditipu hidup-hidup hanya kerana ada segelintir yang berjaya diperdaya mereka. Atas perancangan Yahudi, SUARAM telah melakukan penipuan secara besar-besaran yang mana ia bukan sahaja membabitkan mahkamah dan juga kerajaan kepada dua buah negara tetapi juga wang yang bukan sedikit. Bayangkan, berapakah upah peguam-peguam tersohor luar negara yang mana salah seorangnya adalah juga peguam kepada George Soros sendiri. Mereka ini semuanya meletakkan bayaran mengikut jam dan bukannya mengikut kes.

Ini belum termasuk kos sampingan seperti penginapan, pengangkutan bagi peguam-peguam terbabit dan juga pegawai-pegawai SUARAM untuk berulang-alik antara Perancis-Malaysia dan juga Thailand dan kini Singapura dan entah ke mana lagi yang dipilih oleh SUARAM untuk membuat sidang media atau kenyataan mengenai kes yang tiada kes ini.

Kita sedia maklum bahawa SUARAM menerima dana secara langsung dua dari rangkaian operasi pertukaran rejim di bawah pihak yang pada hakikatnya sedang menguasai dunia. Oleh itu, kos yang tinggi bagi mencipta dan meneruskan satu penipuan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan oleh SUARAM dengan pihak ini sebagai dalang.

Atau, secara dasarnya, bolehlah dikatakan bahawa SUARAM mempunyai dana yang tiada hadnya. Dan ini membawa kepada satu lagi persoalan iaitu dengan dana yang sebegitu banyak, kenapakah SUARAM perlu menganjurkan program-program untuk mengumpul dana dari rakyat Malaysia untuk menampung penipuan mereka?

Perkara ini boleh dirujuk sendiri di laman rasmi pertubuhan itu, di mana mereka telah beberapa kali menganjurkan makan malam mengumpul dana kononnya untuk digunakan bagi ‘mendapatkan keadilan dalam kes scorpene’. Memandangkan kes scorpene sebenarnya tidak wujud, maka ke manakah semua dana tersebut dibelanjakan? Atau ke poket siapakah ianya disimpan?

Mana-mana rakyat yang terpedaya menyumbang wang kepada SUARAM untuk menampung kos kes yang tiada kes ini, wajar tampil ke hadapan untuk menuntut kembali wang mereka. Cukup-cukuplah minda anda terpedaya dengan penipuan SUARAM tetapi janganlah sampai terpaksa membayar pula untuk menampung kos penipuan itu. Kalaupun begitu benci dengan kerajaan, janganlah sampai memperbodohkan diri sendiri.

Khalid Ismath Syiah Tapi Takpa Asalkan Sokong PAS


Walaupun Khalid Ismath sendiri pernah mengakui dirinya seorang Syiah tapi apa ada hal buat PAS bagi menghalang ajaran tersebut. PAS hari ini masih enggan mengakui bahawa mereka menolak Syiah dan sehingga ini juga PAS tidak pernah menghalang pengikut Syiah daripada terus menular ke dalam parti yang kononnya berasaskan Islam Sunnah.

PAS terima semua asalkan hasrat ke Putrajaya termakbul.

Saturday, 13 October 2012

Apalah Nasib Rakyat Selangor Kerap Ditipu Hidup² #TolakPR


Amat malang bagi rakyat negeri Selangor khususnya para pengundi apabila Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim tergamak menyatakan manifesto pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menjanjikan bekalan air percuma 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna domestik sebagaibukan satu perjanjian’.

Memang benar perakuan janji tersebut bukanlah satu bentuk perjanjian biasa yang perlu ditanda tangani antara pihak-pihak yang terlibat dan dalam hal ini antara pakatan pembangkang Selangor dan pengundi di negeri itu.

Namun, ia adalah tawaran parti yang bertanding kepada pengundi, jika menang dan memerintah. Jadi, manifesto setiap parti yang bertanding dalam pilihan raya adalah komitmen parti terbabit kepada rakyat jika hasrat memerintah menjadi kenyataan. Ia bukan sekadar manis di bibir. Itulah amalan pada setiap pilihan raya umum di negara kita. Amalan itu adalah amalan bersifat universal.

Manifesto menjadi antara komponen yang penting kepada pengundi untuk membuat keputusan menyokong atau tidak calon daripada parti yang berkenaan. Ia juga boleh meyakinkan pengundi.


Dalam kes di Selangor ini, nampak sangat tindakan pimpinan kerajaan Selangor memperbodohkan rakyat di Selangor. Apa yang jelas, Abdul Khalid tidak dapat memberi alasan apabila pelbagai pihak mempertikai keengganan pentadbiran kerajaan Selangor pimpinan PKR mengotakan pemberian air percuma kepada ratusan ribu penghuni pangsapuri dan kondominium atas alasan mereka masih menggunakan meter air pukal.

Kegagalan menunaikan janji itu yang disertakan dengan dalih yang cukup tidak masuk akal hanya memburukkan lagi tanggapan terhadap kelemahan pentadbiran Abdul Khalid.

Semalam, Abdul Khalid dalam satu kenyataan berkata, manifesto parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menjanjikan bekalan air kegunaan domestik secara percuma sebanyak 20 meter padu pertama setiap bulan tanpa menyatakan syarat pengguna mesti menggunakan meter individu, adalah 'bukan satu perjanjian'.

Abdul Khalid mengemukakan alasan itu bagi menepis kritikan pelbagai pihak yang mempertikaikan keengganan pentadbiran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor memberikan kemudahan air percuma kepada ratusan ribu penghuni pangsapuri dan kondominium atas alasan mereka masih menggunakan meter air pukal.

Beliau juga kekal dengan pendirian tidak melayan tuntutan membayar tunggakan air percuma ditaksirkan mencecah RM300 juta setelah para penghuni kediaman bertingkat tersebut dinafikan hak menikmati kemudahan air percuma sejak Ogos 2008.

"Manifesto itu bukan satu perjanjian," katanya ringkas pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.


Beliau ditanya mengenai sebab kerajaan negeri meletakkan syarat penduduk mesti menukar meter individu sebelum mendapat kemudahan air percuma sedangkan jelas tertera dalam manifesto pakatan pembangkang sebelum ini bahawa tawaran tersebut tidak menyebut tentang syarat meter individu atau pukal.

Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan memberitahu, para penghuni membabitkan 1,378 buah pangsapuri dan kondominium di beberapa daerah di negeri ini dikesan masih belum menerima kemudahan air percuma sebagaimana dijanjikan kerajaan PKR Selangor sejak Ogos 2008.

Kata beliau, perangkaan itu melibatkan sebanyak 479 buah pangsapuri di Petaling Jaya; Gombak (462) dan Klang (273) yang jika puratanya melibatkan 500 pemegang akaun perkhidmatan bekalan bagi setiap premis kediaman tersebut, maka keseluruhannya mencecah hingga 689,000 orang manakala jumlah tunggakan subsidi air percuma hampir RM300 juta.

Sohaimi turut menyelar tindakan kerajaan negeri yang menjadikan alasan mekanisme dan teknikal dalam penukaran meter air pukal kepada individu untuk mengelak menunaikan janji pemberian air percuma kepada rakyat.

Bagaimanapun, Abdul Khalid memberikan alasan syarat penukaran meter individu itu dilakukan memandangkan program penukaran meter individu sudah diarahkan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sejak 2007.

"Jadi, kita minta Syabas percepatkan pelaksanaan program tersebut. Pengumuman kita ialah hanya beri air percuma kepada mereka yang ada meter persendirian.

"Adalah lebih baik selesaikan pertukaran kepada meter persendirian kerana mereka akan terus mendapat pemberian air percuma," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai program khusus bagi membantu golongan tidak berkemampuan yang tinggal di rumah pangsa kos rendah.

Bercuti Luar Negara Perlukan Pengesahan KSN


Semua pegawai awam yang hendak ke luar negara atas urusan persendirian mesti mendapat kelulusan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian masing-masing, berkuat kuasa 1 Oktober.

Perkara itu dinyatakan menerusi Surat Pekeliling Am bilangan 3 Tahun 2012 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri pada 1 Oktober, selaras dengan usaha menambah baik kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan.

Surat itu yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa (gambar) bagi menggantikan Surat Pekeliling Am bertarikh 1 Mac 1984 dan 11 Jun 1986. Menurut pekeliling terkini itu, pegawai terbabit perlu membuat perakuan mematuhi arahan keupayaan kewangan yang mencukupi untuk ke negara yang dilawati.

Selain itu, mereka juga perlu memastikan lawatan tidak dibiayai individu atau syarikat swasta yang boleh menimbulkan syak munasabah bahawa pegawai telah mengutamakan kepentingan peribadinya berbanding tugas awam pegawai atau membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan tugas rasmi pegawai.

Bagi pegawai yang sering berulang-alik ke luar negara jiran yang bersempadan dengan Malaysia, permohonan juga perlu dibuat melalui Borang Permohonan Perjalanan Pegawai Awam Ke Luar Negara Atas Urusan Persendirian.

Manakala pegawai yang sedang mengambil Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) di dalam atau luar negara hanya perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada penyelia akademik di pusat pengajian dan memaklumkan kepada Ketua Jabatan dan Ketua Perkhidmatan pegawai awam untuk direkodkan. Mereka juga tidak dibenar mengunjungi mana-mana negara yang dilarang kecuali dengan kelulusan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan.

Bukti Air Empangan Selangor Merosot #TolakPR



Tidak berapa lama dulu Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim pernah mengarahkan Exco kanannya, Ronnie Liu membuat tinjauan rambang ke beberapa empangan dan sungai di Selangor ketika isu bekalan air terus hangat diperkatakan rakyatnya.

Dengan bersandarkan hasil dari tinjauan tersebut, kerajaan PKR Selangor kemudiannya merumuskan Selangor tidak berdepan dengan sebarang masalah bekalan air kerana rata-rata empangan dan sungai masih dipenuhi dengan air.

Hakikatnya, tujuan sebenar tinjauan itu dilakukan hanyalah untuk mengalih perhatian rakyat Selangor daripada isu sebenar berkaitan bekalan air terawat yang semakin kritikal di kebanyakan loji rawatan air di seluruh negeri.

Satu perkara yang tidak diceritakannya kepada khalayak ialah, air mentah yang memenuhi empangan dan sungai tidak akan selamanya akan penuh atau kekal parasnya pada takat tertentu.

Ada tikanya akan surut sama ada kerana perubahan cuaca, disebabkan penggunaan harian yang tinggi selepas dirawat dan dibekalkan loji rawatan kepada pengguna ataupun disebabkan proses penyejatan.

Berdasarkan maklumat terkini (Lihat Bacaan Paras Air Empangan, 08 Oktober 2012) dan bila dibandingkan dengan bacaan paras air empangan pada 2 Julai 2012 lepas, jelas menunjukkan adanya penurunan paras air di beberapa empangan.

Paling ketara di Empangan Sungai Selangor yang merosot teruk dari bacaan 217.35 juta meter jatuh ke paras bacaan 199.7 juta meter, agak hampir kepada paras kritikal yang kiranya berterusan akan memberi kesan besar terhadap loji rawatan air yang merawat sumber air mentah dari empangan ini.

Manakala Sungai Tinggi pula sekarang berada di paras 54.94 juta meter, juga mengalami kemerosotan takungan air berbanding bacaan pada 2 Julai lalu ialah 58.7 juta meter.


Hanya empangan Sungai Semenyih sahaja yang menunjukkan peningkatan daripada 95.61 juta meter kepada paras maksima 111 juta meter. Baki 4 empangan lain juga berlaku penurunan paras bacaan tapi tidaklah terlalu ketara.

Dalam pada itu, mengikut makluman yang diterima, portal MyNewsHub juga ada membuat laporan eksklusif berkaitan perkara ini selepas mereka melakukan tinjauan ke beberapa empangan dan sungai sekitar Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, menurut kenyataan terbaru dari MB Selangor pada 7 Oktober lalu, katanya, rakyat tidak perlu cemas dengan penyusutan paras air yang dilaporkan berlaku di beberapa empangan dan loji rawatan air tika ini.

Katanya, kerajaan negeri telah maklum perkara tersebut dan telah siap sedia untuk melakukan proses pembenihan awam seandainya hujan masih tidak turun dalam tempoh 22 hari bermula 4 Oktober 2012 lepas.

Tidak diketahui kenapa perlu menunggu 22 hari sebelum melakukan proses tersebut, apakah perlu ditunggu empangan dan sungai kering dahulu baru mahu bergegas untuk mencari jalan alternatif lain menyelesaikannya?

Walau apapun, perkembangan terbaru ini tentulah menambah lagi sesak di kepala rakyat Selangor.

Belum pun selesai isu air terawat yang semakin kritikal di loji rawatan sedia ada, terpaksa pula menunggu lebih tiga minggu untuk melihat kerajaan negeri bertindak mengatasi masalah penyusutan paras air mentah di empangan.

Susah betul hidup berketuakan orang politik yang hanya pandai bercakap dan tahu mencipta seribu satu alasan tapi begitu lemah sekali dalam menyegerakan tindakan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.