Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali digesa mengambil kesempatan sempena ketibaan bulan Ramadan untuk bertaubat selepas dikaitkan dengan isu penyebaran gambar aksi panas yang dikatakan miripnya.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, Azmin sehingga hari ini masih belum mengambil sebarang tindakan bagi menafikan tuduhan bahawa lelaki dalam gambar tersebut adalah dirinya.
''Kalau benar bukan dia, dia perlu membuat laporan polis dan melantik peguam untuk mendakwa individu terbabit yang mendedahkan gambar tersebut.
''Namun tindakannya mendiamkan diri seperti mengiakan perkara tersebut, maka dia perlu bertaubat,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas sikap Azmin yang enggan membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar adegan panas itu oleh beberapa blog hujung bulan April lalu.
Selain itu, katanya, umum mengetahui bahawa Azmin mempunyai masalah dengan keluarganya lebih-lebih lagi terhadap ibunya.
''Oleh itu, saya juga ingin menyeru Azmin untuk bertaubat dan meminta maaf kepada ibunya.
''Bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk berbuat demikian, janganlah dicemari bulan mulia ini dengan terus menyakiti hati ibunya,'' ujarnya.
Perkara sama turut dilontarkan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipalit dengan pelbagai kontroversi lebih-lebih lagi isu video seks yang mengaibkan dirinya.
Menurut Razlan, Anwar juga masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap 'Trio Datuk T' yang mendedahkan video itu bagi membersihkan namanya dan menafikan beliau bukan pelaku dalam klip video seks tersebut.
''Sekurang-kurangnya, bertindaklah seperti Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersumpah bagi menafikan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan pihak pembangkang,'' katanya.
No comments:
Post a Comment